PENGENALAN KEPADA SKIM PENGESAHAN BAHAN TANAMAN (SPBT)

Bahan tanaman adalah input asas yang sangat penting bagi sesuatu pengeluaran hasil tanaman pertanian. Kualiti sesuatu bahan tanaman bakal menentukan hasil yang akan dituai selepas satu tempoh yang panjang antara empat (4) hingga enam (6) tahun bagi sesetengah jenis tanaman kekal seperti Durian, Nangka, Rambutan dan Mangga. Sekiranya varieti sesuatu tanaman tidak dikenalpasti dari awal mula penanaman, maka pelaburan selama tempoh empat hingga lima tahun tersebut akan menjadi sia-sia dan sudah pasti petani/pengusaha terpaksa menanggung kerugian yang besar.

Skim Pengesahan Bahan Tanaman (SPBT) merupakan satu platform untuk mendapatkan pengesahan ketulenan pokok induk mata tunas serta bahan tanaman yang dikeluarkan oleh pengeluar-pengeluar bahan tanaman sama ada badan kerajaan maupun swasta bagi memastikan ketulenan dan kualiti bahan tanaman yang dikeluarkan adalah terjamin dan terpelihara.

SPBT telah diperkenalkan oleh Jabatan Pertanian Malaysia pada tahun 2012 diikuti oleh Jabatan Pertanian Sarawak 2018 dan Jabatan Pertanian Sabah pada tahun 2020. Skim ini telah dimanafaatkan oleh para pengeluar bahan tanaman terutamanya nurseri-nurseri swasta di Semenanjung Malaysia yang banyak mengeksport bahan-bahan tanaman.

Di bawah SPBT, Pegawai Pemeriksa yang kompeten akan memeriksa dan memperakukan pokok induk tanaman atau bahan tanaman mengikut senarai varieti tanaman SPBT untuk pengesahan.  Penyenaraian varieti yang diperakukan adalah berdasarkan kepada standard dan pencirian yang telah ditetapkan oleh Jabatan Pertanian Malaysia serta SIRIM. Dengan pelaksanaan skim ini serta dengan penyertaan aktif para pengeluar bahan tanaman terutamanya nurseri-nurseri swasta maupun individu akan meningkatkan keyakinan pembeli akan kualiti dan ketulenan bahan tanaman yang dikeluarkan. Penyertaan adalah secara sukarela dan tidak dikenakan sebarang bayaran.

FAEDAH

Faedah-faedah yang bakal diperolehi sekiranya menyertai skim ini adalah;

– Menerima khidmat nasihat dan bimbingan daripada pegawai Jabatan Pertanian Sabah.

– Bahan tanaman yang diperakukan oleh Jabatan Pertanian Sabah dapat meningkatkan keyakinan pembeli terhadap ketulenan varieti tanaman;

CARA MENYERTAI SPBT

Pengusaha nurseri tanaman perlu mendaftar sebagai peserta skim dengan mengisi borang permohonan  ABK 1 dan ABK 3 yang boleh diperolehi melalui Pejabat-Pejabat Pertanian Daerah yang berdekatan. Permohonan perlu dibuat melalui Pejabat Pertanian Daerah kerana, pegawai dan kakitangan Pejabat Pertanian Daerah merupakan pembimbing kepada skim ini. Permohonan peserta bersama dokumen yang lengkap akan dikemukakan oleh Pejabat Pertanian Daerah ke;

Alamat Urusetia

Urusetia
Skim Pengesahan Bahan Tanaman,
Seksyen Kualiti Tanaman, Pelaburan dan Eksport,
Bahagian Dasar dan Perancangan, Jabatan Pertanian Sabah,
Aras 6, Wisma Pertanian Sabah,
Jalan Tasik Luyang off Jalan maktab Gaya,
88632 KOTA KINABALU, SABAH.
Tel: 088-283233/ 255

     a. Kelayakan Peserta

– Warganegara Malaysia

– Berumur 18 tahun ke atas

–  Ada ladang/ kebun pokok induk / nurseri

–  Ada lesen niaga menjual bahan tanaman

 

     b. Status Kebun Mata Tunas/ Ladang/ Nurseri

– Cerun tidak melebih 250

– Tanah bergeran milik pemohon/ tanah sewaan (sediakan Salinan dokumen perjanjian sewaan yang telah disahkan)