1. Rasional Pengurusan Sistem Penanda
- Untuk membenarkan Jabatan Pertanian dan FAMA mendaftar pengusaha dan pengeksport yang terlibat dalam aktiviti pengeksportan sayur-sayuran dan buah-buahan terutama ke Negara Brunei Darussalam.
- Untuk memastikan semua pengusaha sayur-sayuran dan buah-buahan menggunakan/melekatkan LABEL FAMA pada setiap bungkusan bagi memudahkan pemantauan dan pengesanan punca bekalan yang diperolehi oleh pengeksport.
- Untuk membenarkan dan membolehkan Jabatan Pertanian dan FAMA menyiasat dan mengesan pengusaha dan pengeksport yang dikenalpasti membuat penghantaran/pengeksportan sayur-sayuran dan buah-buahan didapati mengandungi sisabaki racun perosak melebihi had maximum residue limit (MRL) yang dibenarkan.
2. Bagaimana/Kaedah Pelaksanaan
Jabatan Pertanian menetapkan kod pengusaha dan kod kawasan pengeluar setiap daerah, manakala FAMA menetapkan kos pengeksport sayur-sayuran dan buah-buahan. Pendaftaran dan pembaharuan pendaftaran tahunan kod pengusaha sayur-sayuran dan buah-buahan dibuat oleh Jabatan Pertanian, manakala kod pengeksport oleh FAMA selepas diperakui oleh Jabatan Pertanian. Cetakan label dibuat oleh FAMA. Penjualan label kepada pengusaha sayur/buah, pemindahan dan kawalan stok, pelaporan rekod penjualan dan penyerahan kutipan wang jualan label dilakukan oleh Jabatan Pertanian. Semua pengusaha-pengusaha sayur-sayuran dan buah-buahan hendaklah melekatkan dan mempamerkan label yang telah lengkap dengan maklumat-maklumat tertentu pada setiap bungkusan sayur atau buah untuk dieksport ke Negara Brunei Darussalam.
3. Faedah Kepada Petani/Pengusaha
Sistem penanda dapat memberi kesedaran kepada petani untuk mengeluarkan sayur-sayuran dan buah-buahan yang berkualiti. Dengan demikian ia akan memudahkan petani/pengusaha dan pengeksport memasarkan hasil ladang berkualiti ke Negara Brunei Darussalam.