Program Penuaian Sawah Satelit Benih Padi Sah (SSBPS) Kg. Kalibatang anjuran Jabatan Pertanian Sabah telah berlangsung dengan jayanya di Kg. Kalibatang Baru, Kemabong, Tenom dan disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Haji Jamawi Haji Jaafar, Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) Sabah.
Majlis turut dihadiri oleh YBhg. Tuan Jackson Ronald Jaimi, Pengarah Pertanian Sabah, bersama barisan pengurusan dan warga Jabatan Pertanian Sabah, wakil-wakil jabatan dan agensi kerajaan serta para petani yang terlibat dalam Program Sawah Satelit Benih Padi Sah Kg. Kalibatang.
Sawah Satelit Benih Padi Sah Kg. Kalibatang merupakan antara inisiatif Jabatan Pertanian Sabah dalam memperkukuh pengeluaran benih padi sah berkualiti melalui pengurusan tanaman yang sistematik dan kawalan kualiti yang rapi. Kawasan seluas 67.21 hektar ini melibatkan seramai 83 orang petani yang dibahagikan kepada empat (4) blok. Penuaian pada kali ini melibatkan Blok B, manakala penuaian Blok A telah dimulakan pada bulan Julai lalu. Keseluruhan proses penuaian bagi kawasan ini dijangka selesai pada bulan Oktober.
Keistimewaan program ini adalah kawasan sawah bukan semata-mata diusahakan untuk pengeluaran padi makanan, sebaliknya memberi tumpuan kepada pengeluaran dan pembiakan benih padi sah.
Setiap peringkat pengeluaran diberikan perhatian yang teliti oleh Jabatan Pertanian Sabah, bermula daripada penyediaan tanah, penanaman, pemantauan pertumbuhan, kawalan kualiti sehinggalah kepada penghasilan benih padi untuk kegunaan petani.
Usaha ini amat penting dalam memastikan bekalan benih padi sah dan berkualiti dapat disediakan secara berterusan, sekali gus menyokong peningkatan produktiviti tanaman padi serta memperkukuh pembangunan sektor agromakanan di Sabah.
Jabatan Pertanian Sabah komited untuk terus memperkasa petani, meningkatkan pengeluaran benih padi berkualiti dan memperkukuh sektor pertanian Sabah demi menjamin kelangsungan serta masa depan industri padi negeri.









