Pusat Penyelidikan Pertanian Bukit Quoin Tawau
Kini, pusat penyelidikan ini dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan aktiviti penyelidikan pembiakbakaan, dan agronomi (amalan kultura dan teknik penanaman) atas 20 jenis tanaman buah-buahan terpilih (durian, nanas, tarap, betik, nangka, pisang, bambangan, sukun, ciku, sitrus, cempedak, jambu, lansium (duku / langsat / duku langsat / dokong), mangga, manggis, salak, belimbing), dan juga buah-buahan minor seperti avokado, serta buah-buahan eksotik seperti Mamey Sapote, canistel dan rempah ratus dan kekeras seperti yang digariskan di dalam Dasar Pertanian Negeri Sabah (DPNS) dan polisi Jabatan Pertanian Sabah.
Pusat Penyelidikan Pertanian Bukit Quoin, Tawau di bawah Jabatan Pertanian Sabah telah ditubuhkan pada bulan Mei, 1957. Sebelum ini, pusat penyelidikan ini dikenali sebagai Pusat Penyelidikan Koko dan berfungsi untuk membangunkan industri koko di negeri Sabah. Seiring dengan Rancangan Malaysia Ke-7 dan penubuhan Lembaga Koko Malaysia, nama pusat penyelidikan ini telah ditukarkan ke nama sekarang untuk mencerminkan fungsi utama yang telah berubah iaitu menjalankan program penyelidikan ke atas tanaman buah-buahan yang juga merupakan salah satu komponen di bawah program penyelidikan dan pembangunan Jabatan Pertanian, Sabah.
a. Menjadikan Pusat Penyelidikan Pertanian Bukit Quoin sebagai Pusat Kecemerlangan (Centre of Excellence) bagi tanaman buah-buahan;
b. Untuk membangunkan dan memindahkan varieti baharu dan pakej teknologi buah-buahan tempatan dan nadir untuk meningkatkan hasil dan pendapatan petani;
c. Untuk meningkatkan pengeluaran tanaman buah-buahan yang bermutu dan bernilai tinggi, bebas dari penyakit dan perosak, selamat dimakan dan sesuai dieksport;
d. Untuk mengeksploitasi potensi buah-buahan nadir;
e. Untuk memelihara dan memulihara janaplasma buah-buahan tempatan dan nadir mengurangkan kesamaan dengan menggunakan kaedah molecular;
f. Untuk meningkatkan pengeluaran bahan tanaman asas yang bermutu tinggi varieti buah-buahan yang disyorkan oleh Jabatan Pertanian Sabah mengikut prosedur operasi standard.
Sasaran Program Penyelidikan Tahun 2022
a. Mengumpulkan sebanyak 15 aksesi baru buah-buahan yang berpotensi untuk dibangunkan;
b. Melancar 2 aksesi buah-buahan terpilih (Durian Merah dan Nangka);
c. Menghasilkan 2 kilogram biji benih betik Sekaki dan Eksotika;
d. Membekalkan 10,000 bahan tanaman durian, nanas, nangka, avokado, dan pelbagai tanaman asas;
e. Menghasilkan / membekal 50,000 biji benih koko dan 5,000 ranting matatunas koko.
Permohonan berkaitan perkhidmatan atau keterangan lanjut mengenai pusat penyelidikan, ini boleh dikemukakan kepada Ketua Penolong Pengarah (Penyelidikan) :
Alamat :
Pusat Penyelidikan Pertanian Bukit Quoin (ARS Tawau), Peti Surat No. 324, 91007 Tawau.
No. Telefon :
089-752 882, 089-757 821/822/823
Faks :
089-775887
Email : Evenni.Poili@sabah.gov.my