
1. JENIS PROGRAM PERSAMPELAN
1.1 Program Persampelan Biasa
Merupakan program pemantauan terhadap paras sisabaki racun perosak dalam tanaman makanan yang melibatkan 17 buah daerah. Sampel akan diambil di ladang oleh Juruteknik Pertanian yang terlatih di daerah masing-masing. Sampel-sampel ini kemudiannya akan diambil oleh pihak Pusat Penyelidikan Pertanian Tuaran untuk dihantar ke Makmal Sisabaki Racun Perosak bagi tujuan penganalisaan. Pengambilan sampel (bilangan sampel/jenis) adalah berdasarkan program persampelan yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Program Persampelan.
1.2 Program Persampelan Khas
Merupakan program pemantauan terhadap paras sisabaki racun perosak dalam tanaman makanan khusus untuk kelulusan pembelian penanda bagi tujuan pengeksportan tanaman makanan ke Negara Brunei Darussalam dan Negeri Sarawak. Pengambilan sampel untuk tujuan pendaftaran petani dalam Jabatan Pertanian juga dibuat melalui program ini. Program untuk pengambilan sampel diatur oleh Unit Pelaksanaan Sistem Pelabelan dan Pembungkusan, Seksyen Penguatkuasaan dan Perlindungan Tanaman. Pengambilan sampel di ladang juga dijalankan oleh Juruteknik Pertanian di daerah yang terlibat dan dihantar ke Makmal Sisabaki Racun Perosak bagi tujuan penganalisaan.
2. RASIONAL PROGRAM PERSAMPELAN
Program Persampelan dibuat bertujuan untuk mengesan penanam-penanam yang mempunyai tanaman makanan melebihi paras sisabaki racun perosak (MRL) yang dibenarkan dan yang menggunakan racun perosak yang diharamkan. Dengan demikian, petani yang terlibat akan dinasihatkan tentang penggunaan racun perosak dengan cara yang selamat dan tidak menggunakan racun perosak yang diharamkan supaya keluaran tanaman makanan adalah selamat digunakan.
3. KAEDAH PELAKSANAAN
Satu program pengambilan sampel yang dikenali Program Persampelan Biasa telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Program Persampelan yang melibatkan 17 buah daerah. Sampel diambil terus dari ladang dan dianalisa di Pusat Penyelidikan Pertanian Tuaran. Keputusan analisa diserahkan kepada S4P untuk dimaklumkan kepada daerah yang terlibat. Pegawai Pertanian daerah akan menasihat petani yang didapati mempunyai tanaman makanan yang mengandungi sisabaki racun perosak melebihi paras (MRL) yang dibenarkan.
4. FAEDAH KEPADA PETANI/PENGUSAHA
Petani dapat tahu samada tanaman makanan mereka mengandungi sisabaki racun melebihi paras MRL atau tidak. Mereka juga mendapat nasihat dari Pegawai Pertanian cara penggunaan racun perosak dengan betul. Tanaman makanan yang mengandungi sisabaki racun kurang dari paras MRL mendapat pasaran yang lebih luas terutama ke Negara Brunei Darussalam dan Negeri Sarawak.